Saturday, December 31, 2011

AHLAN WASAHLAN 2012 ........


Selamat Tahun 2012 ....... semoga kita semua dalam keberkatan dan rahmatNya.
Setiap kali menjelmanya tahun baru, pasti adanya azam baru ..... mungkin azam di awal tahun. Semoga setiap azam dapat diteruskan dengan jayanya hingga ke akhir hayat.

Ini ada pesana dari http://laman-seri.blogspot.com/2011/12/renung-wasiat-hassan-al-banna-untuk.html .... semoga sedikit sebanyak menjadi pedoman kepada kita semua dalam menetapkan azam di dalam kehidupan yang sementara ini.

Sebagai muhasabah dalam memulakan langkah 2012, marilah kita merenung wasiat dan nasihat Hassan al-Banna:

Segeralah tunaikan solat pada awal waktu
Kala mendengar azan. Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan kita. Di situ ada sumber kejayaan, pertolongan dan taufiq. Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran di mulakan dengan menyebut solat pada awalnya. Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat di medan perang walaupun pada saat genting dan cemas.

Bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya.
Selalu berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit. Kata pepatah, sikit sikit lama-lama jadi bukit. Kurangkan mengisi masa yang tidak bertujuan. Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu. Sumber hidayah kepada kita semua. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat.

Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir! Di sini ada ketenteraman, kedamaian dan keselamatan. Jadilah hamba yang sejahtera.

Dorong diri untuk menguasai bahasa al-Quran.
Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda sudah lama bermula iaitu sejak anda solat setiap hari.
Sebut dulu walaupun tidak faham. Antara malapetaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Ayuh! Apa tunggu lagi bukalah ruang walaupun seminit!

Usahlah bertarung idea tanpa adabnya.
Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran kerana di sana ada unsur lain membisikkan, syaitan namanya!

Senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa!
Rasulullah SAW adalah yang paling banyak senyum. Baginda ketawa kena pada tempatnya. Bagaimanapun, dalam apa-apa urusan, berpada-pada sahajalah. Plato juga berharap supaya pementasan hiburan yang tidak bermutu, terlalu banyak ketawa dan lawak bodoh hanya disaksikan golongan abdi dan orang upahan asing. Begitu juga pendapat Aristotle, supaya belia ditegah daripada menyaksikan hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, agar tidak menular keburukan dalam diri!

Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan.
Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair: Berikan kerehatan pada jiwamu. Yang sibuk dengan berfikir, ubati dengan bergurau. Tapi, kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam batas seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.

Kawal nada suara setakat yang diperlukan oleh pendengar di hadapan kita.
Janganlah jadi seperti orang bodoh, bahkan menyakiti hati orang lain pula. Luqman al-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya. Itulah katanya suara keldai! Surah al-Isra’ memberi tip kepada kita. Jangan keraskan suaramu dalam solat. Tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan tengah di antara keduanya.

Usahlah mengumpat dan usahlah merendah-rendahkan orang atau pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Ayuh! Hindarilah mengumpat! Tidak sekali mencabuli jemaah lain! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama.

Sukakah kita makan daging? Pasti kita suka! Tapi sukakah kita memakan daging kawan kita yang sudah mati? Sekali-kali tentu jawapannya TiDAK! Begitulah dosa orang yang mengumpat. Bertaubatlah segera, jika kita mengumpat tapi mesti minta ampun terhadap orang yang kita umpatkan itu. Boleh mengumpat apabila ada tujuan syarie iaitu untuk menuntut keadilan apabila dizalimi, untuk menghapuskan kemungkaran atau kerana memberi amaran kepada Muslim lain mengenai kejahatan dan mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.

Luaskanlah interaksi dengan umat manusia.
Sekali pun mereka tidak diminta berbuat demikian. Salam kasih sayang adalah untuk semua. Salam kemesraan adalah untuk sejagat. Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan. Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Pelbagai bangsa, lapisan dan darjat datang berkunjung. Sama-sama menjunjung obor suci. Tidak mengenali tapi tak sepi.

Maksimumkan faedah waktu kita dan tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa
Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah menggunakan waktu kita yang masih tersisa. Bersegeralah, kerana dalam sabda Nabi yang bermaksud: “Bertindak segeralah melakukan amal...” (Diulang 7 kali..). Sayangilah masa orang lain, hormatilah waktu mereka, usahlah berbicara meleret-leret tanpa haluan dan noktahnya.

SELAMAT TAHUN BARU 2012 ...... Ya Allah berkatilah hidup kami di dunia dan akhirat ...